Menurut Normaliza Abd Rahim (2014) blog merupakan satu medium perbincangan bertulis sama ada dalam bentuk formal atau tidak formal. Ia boleh diguna untuk kegunaan peribadi sebagai jurnal atau diari dan juga boleh digunakan untuk tujuan perniagaan dalam mempromosikan dan memperiklankan produk.
Berikutnya, menurut Li dan Chingnell (2010) blog merupakan laman web yang mesra pengguna di mana ia senang diuruskan dan sentiasa dikemas kini oleh pentadbirnya. Sebagai salah satu rangkaian sosial dan medium komunikasi, blog membolehkan pengguna untuk berinteraksi dengan penulis blog yang lain. Oleh itu menulis blog adalah salah satu aktiviti yang berguna bukan sahaja untuk meningkatkan keyakinan dalam menulis tetapi juga sebagai motivasi untuk mereka belajar menulis dengan kreatif. Hal ini demikian kerana, pelajar akan berasa selesa untuk menulis menggunakan blog memandangkan ia boleh dibuat secara peribadi dengan hanya mempunyai pembaca yang dijemput sahaja untuk membaca pos.
Pada tahun 1991 dalam World Wide Web, penulisan blog telah bermula atas talian sebagai mod untuk berkongsi maklumat. Terdapat tiga ciri utama iaitu mengandungi pautan ke area yang lain dalam web, mempunyai komen pada pautan dan interaktif serta saling berkait. Oleh itu, blog merupakan salah satu platform dimana wujud komunikasi antara penulis dan pembaca.
Berdasarkan buku Eh!!! Media Sosial terdapat beberapa kajian mengenai penulisan blog. Antaranya ialah menurut Wang dan Woo, melalui penulisan blog pelajar akan merasa cara penulisan mereka bertambah baik dan lebih fleksibel. Blog juga menjalankan interaksi untuk mencipta komunikasi dua hala antara pelajar bersama pelajar atau antara pelajar bersama tenaga pengajar bagi menyelesaikan tugasan atau untuk mengekalkan hubungan sosial. Interaksi sebegini akan mendedahkan pelajar kepada penggunaan bahasa sasaran yang sahih di mana akan memberi inspirasi dan cabaran kepada mereka dalam cara yang tidak dapat dirasai di dalam kelas (Campbell, 2005).
Selanjutnya, Normaliza Abd Rahim (2014) telah menyenaraikan 10 cara menulis blog dengan baik. Pertama ialah tajuk yang menarik yang boleh menarik perhatian pembaca. Kedua, cerita menarik yang dapat menarik hati pembaca. Ketiga, memasukkan ayat yang humor dan berbentuk jenaka untuk membuatkannya lebih menarik. Keempat, memastikan terdapat hujah terbaik untuk menghuraikan penulisan anda. Kelima, mengaitkan penulisan anda dengan berita terkini. Keenam, menggunakan perkataan dan struktur ayat yang ringkas. Ketujuh, dapat membaca dan difahami. Kelapan, dapat berkomunikasi dengan pembaca. Kesembilan, memasukkan moral dan nilai estetika dalam penulisan. Akhir sekali, penulisan perlu berilmu seperti tentang pendidikan dan sebagainya.
Kesimpulannya, blog dapat membantu pelajar untuk mempelajari kesuasteraan, bahasa dan pembelajaran teknologi. Menulis blog juga meningkatkan motivasi dan keyakinan untuk menulis. Oleh itu, diharapkan penulisan blog ini mampu meningkatkan gaya penulisan pelajar-pelajar.
No comments:
Post a Comment