Menurut Normaliza Abd Rahim (2014) dalam Noraien Mansor & Normaliza Abd Rahim (2019), terdapat 10 etika penulisan blog dengan baik iaitu mempunyai tajuk yang menarik yang boleh menarik perhatian pembaca. Hal ini demikian kerana, pemilihan judul atau tajuk adalah perkara yang perlu diutamakan kerana tajuk yang menarik dapat membuat pembaca ingin mengetahui dengan lebih mendalam mengenai isi yang ingin disampaikan dalam blog. Judul ini juga harus sesuai dengan kandungan tulisan, bukan hanya kerana anda ingin membuat tajuk yang menarik tetapi tidak sesuai dengan isinya.
Di samping itu, penulisan blog perlu ada cerita menarik yang dapat menarik hati pembaca. Hal ini demikian kerana pembaca akan mencari cerita menarik terlebih dahulu untuk dibaca sehingga habis. Sebagai contoh, cerita yang ringan dan tidak berjela-jela biasanya dapat mencuri minat pembaca kerana pembaca lebih tertarik dengan cerita yang mudah difahami.
Etika yang seterusnya, penulis blog perlu memasukkan ayat yang humor dan berbentuk jenaka. Hal ini demikian untuk membuat cerita yang dikarang itu lebih menarik dan mudah diterima kepada semua lapisan masyarakat. Malah penceritaan tersebut membuat pembaca tidak terlalu tegang dan merasa lebih menarik untuk membaca.
Berikutnya, penulis perlu memastikan terdapat hujah terbaik untuk menghuraikan penulisan tersebut. Sebelum menulis, penulis harus membuat sedikit penyelidikan terhadap apa yang ingin ditulis itu. Sebagai contoh, mendapatkan data yang berkaitan dan merujuk kepada sumber yang lebih asli agar kandungan penulisan lebih menarik.
Selanjutnya, penulis perlu mengaitkan penulisan dengan berita terkini agar cerita yang dikarang tidak lapuk dan pembaca boleh merujuk penulisan itu untuk mencari maklumat atau berita terkini. Lagi-lagi cerita yang sedang hangat diperkatakan. Kebiasaanya pembaca akan mencari isu yang sedang tular di media sosial.
Selain itu, penulis perlu menggunakan perkataan dan struktur ayat yang ringkas agar penulisan tersebut mudah difahami oleh semua golongan pembaca. Hal ini demikian kerana, media sosial sudah menjadi platform utama pada masa kini untuk pelajar mahupun pekerja mencari rujukan akademik. Sebagai contoh, blog merupakan salah satu rujukan yang sering diakses oleh mereka untuk membantu dalam pembelajaran harian. Oleh itu, penggunaan ayat ringkas perlu digunakan oleh penulis.
Penulisan blog yang mudah dibaca dan difahami amat dititiberatkan kerana pembaca dapat menghayati penceritaan yang ingin disampaikan. Hal ini demikian kerana, setiap penulisan itu memberi impak yang mendalam kepada pembaca. Oleh itu, penulisan yang susah untuk difahami dan berjela-jela akan menyukarkan pembaca untuk memahami isi yang ingin disampaikan.
Bukan itu sahaja, penulisan ini mendekatkan penulis dengan pembaca. Hal ini seolah-olah penulis dapat berkomunikasi dengan pembaca melalui penulisannya. Sebagai contoh, setiap cerita yang ingin disampaikan oleh penulis dapat dihayati oleh pembaca dengan penuh mendalam dan emosi. Setiap penceritaan akan lebih menarik apabila pembaca memahami isi yang ingin disampaikan oleh penulis.
Setiap penceritaan yang ditulis, penulis perlu memasukkan moral dan nilai estetika agar keindahan bahasa dalam ditonjolkan dalam penulisan itu. Dengan adanya moral dan nilai estetika dalam penulisan blog, pembaca dapat pengajaran yang mendalam dan dapat dijadikan teladan kepada diri sendiri mahupun masyarakat. Hal ini amat penting kerana setiap penulisa yang disampaikan dapat memberi input kepada masyarakat dan mereka dapat belajar sesuatu daripada pembacaan tersebut.
Akhir sekali, penulisan di dalam blog perlu berilmu untuk penulisan pendidikan agar menjadi manfaat kepada semua lapisan masyarakat di seluruh dunia. Sebagai contoh, penulisan blog yang berbentuk akademik boleh dijadikan rujukan oleh pelajar tempatan atau luar negara untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkaitan dengan ilmu yang ingin disampaikan. Ilmu yang bermanfaat ini dapat dijadikan contoh atau teladan yang baik kepada mereka.
No comments:
Post a Comment