Tuesday, September 24, 2019

BBM3410Satu2019: Masih Di Sini

Assalamualaikum semua!







Hari ini, saya ingin menceritakan pengalaman yang saya tidak boleh dilupakan sepanjang saya menuntut di Universiti Putra Malaysia. Saya telah diberi peluang untuk menyertai program CSR dibawah subjek Modal Insan dan Ekonomi dibawah kelolaan Encik Bukryman. Program ini melibatkan kerjasama antara pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kedah dan Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPN) dan para pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM). Program ini juga berlangsung selama 3 hari 2 malam di Yan, Kedah. Program ini telah memberi input yang sangat positif kepada mahasiswa dan semua badan yang terlibat. Antara program yang kami jalankan sepanjang berada di sana ialah kami diarahkan untuk mengumpulkan barang-barang keperluan seperti makanan, pakaian  terpakai, alat tulis dan sebagainya. Apabila kami sampai di kampung tersebut, kami diarahkan untuk menyusun barang-barang yang telah dibawa untuk diagihkan kepada orang kampung. Sambutan program yang dijalankan amat memberangsangkan kerana kebanyakan orang kampung menerima dengan hati terbuka dengan kehadiran kami semua. Selain itu, kami juga membuat beberapa aktiviti  yang boleh mengeratkan hubungan antara pelajar dan orang kampung seperti sesi beramah mesra dan mengenali mereka, bergotong royong bersama-sama dan sebagainya.

Bukan itu sahaja, kami juga diberi peluang untuk melihat keindahan Pulau Songsong di Yan. Pengalaman menaiki bot dan melihat pulau pulau yang lain tersergam indah merupakan satu pengalaman yang sukar untuk diulang kembali. Malah program ini membuka mata kami bahawa masih ada lagi penduduk kampung yang berhati mulia mahu menjaga pulau dengan rela hati tanpa mengharapkan apa-apa bayaran. Sewaktu di pulau songsong, kami diberi tanggungjawab untuk menanam pokok dan membersihkan persekitaran dikawasan pulau. Kami juga diberi peluang untuk menikmati masakan kampung yang telah dimasak beramai-ramai oleh orang kampung Yan. Malah, pelajar diberi kelonggaran untuk bersantai-santai bersama rakan-rakan mengelilingi pulau tersebut.Program seperti ini sangat membantu mahasiswa untuk bekerjasama dalam pasukan. 






Sunday, September 22, 2019

BBM3410Satu2019: Nenek dan Datuk

Sinopsis Cerita Sosial: Nenek dan Datuk

Cerita Nenek dan Datuk mengisahkan seorang kanak-kanak autisme yang bernama Alim telah pulang ke kampung halaman bersama keluarga untuk berjumpa dengan nenek dan datuk. Alim seorang yang gemar akan suasana kampung dengan adanya ayam, itik dan keadaan rumah kampung yang lama. Dia menjadi sedih dan terus menangis apabila mendapati reban ayam, itik dan rumah kampung telah berubah daripada asal. Nenek segera mendapatkan Alim dan menerangkan kepadanya akan hal tersebut. Suasana di kampung agak berlainan daripada biasa namun mereka sekeluarga lebih rapat.

Rujukan: Normaliza Abd Rahim (2019). Kajian Wacana dan Strategi Komunikasi Teori dan Aplikasi. Universiti Malaysia Terengganu: UMT


Jenis multimedia yang boleh digunakan bagi tujuan penyebaran cerita sosial tersebut ialah:

1. Blog
Blog adalah satu platform yang amat sesuai bagi penulis untuk memulakan penulisan mereka dengan membuat pelbagai cerita sosial seperti ini. Pembaca dapat membacanya dengan lebih mudah dan santai.

2. Facebook
Facebook merupakan media sosial yang paling ramai pengguna, bukan sahaja golongan muda malah golongan berusia juga menggunakan facebook untuk mencari pelbagai maklumat. Malah penyebaran berita atau cerita ini lebih cepat dan luas berbanding dengan berita di media elektronik.

3. Twitter
Kebanyakkan media Twitter dipelopori oleh golongan muda yang sering berkongsi maklumat dan cerita-cerita yang lebih menarik berbanding media lain. Bukan itu sahaja, platform ini telah digunakan dengan baik dalam kalangan remaja kerana mereka akan berkongsi ilmu dan cerita yang berbentuk teladan dan memberi pengajaran.

BBM3410Satu2019: Etika Penulisan Blog

Menurut Normaliza Abd Rahim (2014) dalam Noraien Mansor & Normaliza Abd Rahim (2019), terdapat 10 etika penulisan blog dengan baik iaitu mempunyai tajuk yang menarik yang boleh menarik perhatian pembaca. Hal ini demikian kerana, pemilihan judul atau tajuk adalah perkara yang perlu diutamakan kerana tajuk yang menarik dapat membuat pembaca ingin mengetahui dengan lebih mendalam mengenai isi yang ingin disampaikan dalam blog. Judul ini juga harus sesuai dengan kandungan tulisan, bukan hanya kerana anda ingin membuat tajuk yang menarik tetapi tidak sesuai dengan isinya.

Di samping itu, penulisan blog perlu ada cerita menarik yang dapat menarik hati pembaca.  Hal ini demikian kerana pembaca akan mencari cerita menarik terlebih dahulu untuk dibaca sehingga habis. Sebagai contoh, cerita yang ringan dan tidak berjela-jela biasanya dapat mencuri minat pembaca kerana pembaca lebih tertarik dengan cerita yang mudah difahami. 

Etika yang seterusnya, penulis blog perlu memasukkan ayat yang humor dan berbentuk jenaka. Hal ini demikian untuk membuat cerita yang dikarang itu lebih menarik dan mudah diterima kepada semua lapisan masyarakat. Malah penceritaan tersebut membuat pembaca tidak terlalu tegang dan merasa lebih menarik untuk membaca.

Berikutnya, penulis perlu memastikan terdapat hujah terbaik untuk menghuraikan penulisan tersebut. Sebelum menulis, penulis harus membuat sedikit penyelidikan terhadap apa yang ingin ditulis itu. Sebagai contoh, mendapatkan data yang berkaitan dan merujuk kepada sumber yang lebih asli agar kandungan penulisan lebih menarik.

Selanjutnya, penulis perlu mengaitkan penulisan dengan berita terkini agar cerita yang dikarang tidak lapuk dan pembaca boleh merujuk penulisan itu untuk mencari maklumat atau berita terkini. Lagi-lagi cerita yang sedang hangat diperkatakan. Kebiasaanya pembaca akan mencari isu yang sedang tular di media sosial.

Selain itu, penulis perlu menggunakan perkataan dan struktur ayat yang ringkas agar penulisan tersebut mudah difahami oleh semua golongan pembaca. Hal ini demikian kerana, media sosial sudah menjadi platform utama pada masa kini untuk pelajar mahupun pekerja mencari rujukan akademik. Sebagai contoh, blog merupakan salah satu rujukan yang sering diakses oleh mereka untuk membantu dalam pembelajaran harian. Oleh itu, penggunaan ayat ringkas perlu digunakan oleh penulis.

Penulisan blog yang mudah dibaca dan difahami amat dititiberatkan kerana pembaca dapat menghayati penceritaan yang ingin disampaikan. Hal ini demikian kerana, setiap penulisan itu memberi impak yang mendalam kepada pembaca. Oleh itu, penulisan yang susah untuk difahami dan berjela-jela akan menyukarkan pembaca untuk memahami isi yang ingin disampaikan.

Bukan itu sahaja, penulisan ini mendekatkan penulis dengan pembaca. Hal ini seolah-olah penulis dapat berkomunikasi dengan pembaca melalui penulisannya. Sebagai contoh, setiap cerita yang ingin disampaikan oleh penulis dapat dihayati oleh pembaca dengan penuh mendalam dan emosi. Setiap penceritaan akan lebih menarik apabila pembaca memahami isi yang ingin disampaikan oleh penulis.

Setiap penceritaan yang ditulis, penulis perlu memasukkan moral dan nilai estetika agar keindahan bahasa dalam ditonjolkan dalam penulisan itu. Dengan adanya moral dan nilai estetika dalam penulisan blog, pembaca dapat pengajaran yang mendalam dan dapat dijadikan teladan kepada diri sendiri mahupun masyarakat. Hal ini amat penting kerana setiap penulisa yang disampaikan dapat memberi input kepada masyarakat dan mereka dapat belajar sesuatu daripada pembacaan tersebut.

Akhir sekali, penulisan di dalam blog perlu berilmu untuk penulisan pendidikan agar menjadi manfaat kepada semua lapisan masyarakat di seluruh dunia. Sebagai contoh, penulisan blog yang berbentuk akademik boleh dijadikan rujukan oleh pelajar tempatan atau luar negara untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkaitan dengan ilmu yang ingin disampaikan. Ilmu yang bermanfaat ini dapat dijadikan contoh atau teladan yang baik kepada mereka. 

Tuesday, September 17, 2019

BBM3410Satu2019: SAYA FAHAM

Lagu & Lirik: Profesor Dr. Normaliza Abd rahim
Hak Cipta: Universiti Putra Malaysia




Saya Faham

Saya kata "Apa khabar"
Dia jawab "Khabar baik"
Ucapan untuk dia
Ucapan untuk saya

Selamat pagi, tengah hari, petang, malam

Untuk dia
Untuk saya

Terima kasih

Sama-sama
Untuk dia
Untuk saya

Terima kasih
Sama-sama
Untuk kita
Untuk mereka



Monday, September 16, 2019

BBM3410Satu2019: DIRI

Assalamualaikum semua!

Nama diberi Nurul Syamimie Binti Hussin yang berumur 23 tahun. Saya berasal dari Kelantan namun telah lama menetap di Cheras, Kuala Lumpur. Saya merupakan anak kedua daripada 3 orang adik-beradik.

Saya merupakan pelajar tahun akhir di Universiti Putra Malaysia dan sedang mengambil jurusan Bacelor Sastera (Bahasa dan Linguistik Melayu). Major yang diambil ialah Linguistik Melayu manakala minor pula Pengurusan Sumber.

Saya seorang yang gemar menonton filem jika mempunyai waktu lapang. Hal ini dapat mengurangkan tekanan dalam belajar.

Baru-baru ini, saya telah menjalani latihan industri di Majlis Amanah Rakyat (MARA), Kuala Lumpur dan telah ditempatkan di bahagian Komunikasi Korporat (BKOM). Antara pengalaman yang saya perolehi sepanjang menjalani latihan, saya telah didedahkan dengan cara-cara mengendalikan isu-isu yang berkaitan dengan komunikasi dengan masyarakat luar. Sebagai contoh, setiap kali program yang dianjurkan dibawah BKOM, pelatih diminta untuk menemu bual beberapa orang mengenai kesan atau impak kepada diri mereka sepanjang program yang berlangsung. Dengan adanya program seperti ini, saya dapat mengukuhkan komunikasi dengan lebih efektif dan mengikut protokol yang betul. Bukan itu sahaja, saya juga didedahkan dengan cara mengendalikan portal rasmi berita-berita mengenai MARA. Hal ini demikian kerana, BKOM banyak

Oleh itu, pengalaman dan pembelajaran yang saya perolehi semasa menjalani latihan industri dapat saya gunakan dalam subjek Multimedia dalam Bahasa.


Sekian sahaja penulisan tentang diri saya. Terima kasih kerana sudi membaca!







BBM3410SATU2019: KALENDAR

Beberapa minggu kelas amali terakhir pula, kami telah diberikan satu tugasan untuk membuat kalendar tahun 2020 yang bakal menjelma. Kalenda...